Budaya Minum Tapai

Masyarakat etnik di Sabah, khususnya Kadazandusun mempunyai sejarahnya tersendiri dari segi adat-istiadat, pantang-larang, pakaian tradisional, makanan dan sehinggalah meminum tapai. Amalan budaya turun temurun daripada nenek moyang ini menjadi ikutan sehingga sekarang. Walau bagaimanapun, budaya untuk memenggal kepala manusia sudah dihapuskan. Ini berikutan zaman sudah pun berubah dan pengembangan agama di kalangan masyarakat Kadazandusun menyedarkan mereka bahawa budaya `potong kepala’ adalah salah disisi undang-undang dan tidak boleh diamalkan lagi. Justeru itu, ramai masyarakat kadazandusun mengambil keputusan untuk menguburkan tengkorak-tengkorak yang selama ini diletakkan di atas pintu masuk rumah. Ada juga yang diambil oleh pihak Muzeum Sabah bagi tujuan tatapan genarasi muda sebagai satu bahan sejarah. Sabah sememangnya kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya. Tradisi minum tapai bukan sahaja menjadi kegemaran oleh suku kaum kadazandusun tetapi juga kaum Murut. Cara-cara membuat tapai hampir sama, tetapi dari segi adat istiadat berkemungkinan mempunyai perbezaan.

Kajian ini hanya memfokuskan budaya minum tapai di kalangan masyarakat kadazandusun di salah sebuah kampung dalam daerah Papar. Kampung yang di pilih ialah Kg. Langsat, Batu 6, Papar iaitu lebih kurang 9 kilometer dari Pekan Papar dan 49 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu. Kampung yang dikaji ini, di diami oleh 97 peratus masyarakat Kadazandusun dan masing 2 peratus kaum Cina dan 1 peratus kaum Brunei. Penduduk disini adalah penganut agama Roman Catholic, Buddha dan Islam. Penganut majoriti ialah penganut Catholic dengan 96 peratus, dan masing-masing 2 peratus agama Buddha dan 2 peratus lagi adalah agama Islam. Budaya minum tapai masyarakat Kadazandusun di kampung ini tidak mengambarkan keseluruhan masyarakat Kadazandusun di daerah-daerah lain di Sabah. Ini kerana terdapat perbezaan budaya minum tapai dan cara-cara membuat tapai di daerah-daerah yang lain.  Budaya bermaksud cara hidup manusia. Ia merupakan satu proses perkembangan sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok. Perkara ini dapat dilihat melalui etimologi perkataan "budaya" yang bermaksud " budi + daya "; yakni budi sebagai aspek dalaman manusia yang meliputi akal dan nilai, manakala daya sebagai aspek lahiriah manusia yang meliputi usaha dan hasilan. Maka pada kesimpulannya, budaya boleh difahamkan sebagai segala penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Konsep budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu masyarakat dengan suatu masyarakat yang lain.

Kadazandusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Dusun yang merupakan satu pertiga dari penduduk Sabah. Suku kaum Dusun yang tinggal di pantai barat seperti Penampang, Papar, Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud, Kota Marudu dan juga di lembah bukit di Ranau, Tambunan, dan Keningau adalah petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma. Menurut Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Kadazandusun terdiri dari 40 etnik iaitu Bonggi, Lundayo, Sukang, Bundu, Makian, Sungei, Dumpas, Malapi, Tatana, Gana, Mangkaak, Tangara, Garo, Minokok, Tidong, Ida’an, Murut, Tindal, Kadayan, Nabai, Tobilung,
Kimaragang, Paitan, Tolinting, Kolobuan, Pingas, Tombonuo, Kuijau, Rumanau, Tuhawon
Lingkabau, Rungus, Tutung, Liwan, Sinobu, Bisaya, Lobu, Sinorupu, Lotud dan Sonsogon.

Sumber : http://kdca.org.my/about/kadazandusun

SEJARAH PENDUDUK KG. LANGSAT, BATU 6, PAPAR

Masyarakat Kadazandusun di Kg. Langsat, Batu 6, Papar adalah berasal daripada daerah Tambunan iaitu di kawasan perkampungan yang terpencil di Banjaran Crocker. Kawasan ini bersempadanan dengan daerah Ranau. Mereka adalah daripada suku Dusun Liwan. Perkampungan (Kg. Tiwung, Kg. Luwanti, Kg. Karanaan,  Kg. Pinsorililion, Kg. Purakogis... dan sebagainya) yang mereka tinggalkan masih wujud sehingga sekarang. Mereka berhijrah ke daerah Papar sekitar tahun 1950an lagi atas sebab merebaknya penyakit di tempat asal mereka. Ada di antara keluarga mereka juga berhijrah ke daerah Ranau, Keningau, Tenom dan Sook. Situasi tersebut mendorong mereka bekerja di ladang-ladang getah di Batu 5, Kg. Langkawit, Papar. Penghijrahan juga berlaku apabila paderi-paderi Roman Catholic membantu keluarga-keluarga ini untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka di sekolah-sekolah mission seperti di Limbahau dan Kelatuan, Papar. Pada peringkat awal, beberapa keluarga berkongsi untuk membeli tanah-tanah daripada suku kaum Brunei dan menjadikannya sebagai tanah perkampungan. Maka wujud lah perkampungan Kg. Langsat, Kg. Langkawit, Kg. Samaji dan Kg. Kelatuan sehingga sekarang. Pertambahan penduduk Kadazandusun disini telah mendorong mereka membuka tanah-tanah baru di kawasan Ulu Kimanis, Papar. Budaya dan adat istiadat masyarakat Kg. Langsat, Papar mempunyai persamaan dengan budaya di daerah Tambunan seperti pakaian tradisional, paluan gong, tarian dan sebagainya.

Bagi masyarakat kadazandusun, tapai adalah minuman tradisional yang perlu ada dalam kehidupan sebagai lambang atau adat atau amalan sejak turun-menurun. Sebelum adanya minuman keras seperti Beer, Liqour dan lain-lain lagi, tapai sudah menjadi sinonim dengan masyarakat kadazandusun. Antara faktor-faktor budaya minum tapai ialah kepercayaan kepada semangat padi (Pesta Kaamatan), adat, majlis perkhawinan, majlis keramaian, majlis rumah terbuka, majlis meraikan tetamu, majlis pembukaan sebelum perbincangan tunang, kematian, gotong-royong dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menghormati tetamu dan sesiapa sahaja yang datang. Di samping itu juga, meminum tapai akan memanjangkan masa berbual-bual lebih lama lagi dengan rakan-rakan atau saudara mara kerana `jarang-jarang’ bertemu. Meminum tapai juga boleh mengeratkan tali persaudaraan iaitu dengan cara menunjukkan bakat menyanyi, menari, bermain guitar, memukul gong, bertukar-tukar pendapat, berbincang tentang politik, pertanian, pekerjaan, memburu dan sebagainya. Bagi golongan remaja pula mereka akan mengambil kesempatan untuk bertemu dan berbual-bual sambil minum tapai dengan kawan-kawan mereka. Manakala golongan dewasa atau yang berumur akan bertukar-tukar pendapat atau membincangkan masalah di kampung. Kadang-kadang masalah akan timbul apabila kedua-dua pihak yang berbincang itu tidak sehaluan pendapat. Apa lagi kalau sudah meminum tapai, keberanian meluahkan perasaan itu timbul semasa minum tapai sehingga berlaku pertengkaran dan seterusnya terjadi lah pergaduhan. Pada kebiasaannya, kedua-dua pihak tadi akan berdamai pada keesokkan hari dengan memberikan `sogit’ samada seekor ayam atau seekor babi kepada tuan rumah tempat mereka minum tapai. Pada hari ini, `sogit’ sudah dinaikkan kepada seekor kerbau sebagai satu pengajaran kepada peminum-peminum yang suka membuat gaduh. Antara tujuannya adalah untuk memberi peringatan dan menghalang mereka yang sengaja menganggu keramaian yang sedang berlangsung. Dengan adanya peraturan baru itu, `sogit’ lebih bermakna lagi dan sangat berkesan sekali kepada peminum-peminum tapai agar berhati-hati dalam pergaulan semasa minum tapai.

Tapai atau `kinomol’ biasanya diperbuat daripada `beras pulut’ yang diperam dalam tajau. Terdapat dua jenis tapai iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Tapai pulut lebih digemari oleh suku kaum kadazandusun jika dibandingkan dengan tapai ubi. Tapai juga dikenali sebagai `tumpung’ iaitu beras pulut yang diperam didalam bekas botol plastik air mineral atau bekas botol plastik minyak masak. Sekiranya tapai dibiarkan lama berada dalam tajau `lihing’ akan terjadi. `Linutau’ juga berasal dari `Kinomol’ dimana baki nasi yang ada dalam tajau tadi diambil kemudian dibungkus dengan kain lalu diperah atau ditapis untuk mendapatkan air tapai. Air tapai ini dipanggil `linutau’. Manakala `montoku’ pula terbentuk apabila tapai tadi di masak semula untuk mendapatkan wap tapai. Satu saluran khas akan dibina dari `lanjang’ atau periuk nasi untuk memudahkan wap itu mengalir ke dalam botol atau tempat penyimpanan. Proses ini memakan masa berjam-jam dan boleh sampai sehari hanya untuk mendapatkan sebotol `montoku’.

Bahan-bahan membuat tapai ialah :
· Beras Pulut (warna putih), boleh dicampurkan juga dengan sedikit beras warna merah jika mahu tapai itu kelihatan berwarna merah.
· Ragi atau `sasad’ atau `laru’ (2 jenis ragi satu rasanya pahit dan satu lagi rasanya manis). Ragi pahit dan ragi manis boleh dicampurkan sekali ikut kehendak. Dan rasanya tapai itu `pahit manis’. Tapai yang rasanya ada manis-manis dan ada pahit-pahit sikit amat digemari oleh si peminum.


Cara-cara membuat tapai :
Sediakan satu gantang beras pulut atau 14 tin bekas `susu junjung’
1 biji ragi.
Bersihkan beras pulut / beras biasa dengan menggunakan air.
Masak beras tadi (seperti memasak nasi)
Keluarkan nasi tadi dan ratakan diatas tikar yang bersih dan biarkan sehingga sejuk.
Ragi yang ditembuk (halus) kemudiannya ditaburkan diatas nasi tadi. Campurkan
sehingga sebati.
Masukkan nasi dan ragi yang sudah digaul kedalam tajau.
Tutup mulut tajau dengan kain atau plastik dan ikat ketat.
Letakkan parang dan abu arang diatas tajau tadi bagi mengelakkan gangguan orang halus, mengikut kepercayaan masyarakat Kadazandusun.

Keperluan dan Tempat Penyimpanan Tapai :
Tajau (bersihkan tajau menggunakan daun tarap untuk mengelakkan tapai berasa masam)
Daun tarap atau Kain.
Tali nylon atau rotan
Straw atau bambu tempat untuk menyedut.

Pantang Larang semasa membuat tapai :
Tidak boleh membuat bising
Tidak boleh bertengkar / bergaduh
Tidak boleh `melangkah’ di atas nasi dan ragi

Menurut kepercayaan jika pantang larang ini tidak diikuti, akan berlaku pergaduhan besar atau perkara yang tidak di ingini kepada si peminum semasa majilis keramaian tersebut berlangsung. Selepas selesai proses membuat tapai, letakkan tajau tersebut di dalam sebuah bilik khas, bersih dan berkunci. Tunggu sehingga 2 minggu (beras pulut) dan 1 bulan (beras biasa). Tuang dengan air sejuk yang sudah dimasak ke dalam tajau. Sedia untuk diminum dan hidangkan kepada tamu yang datang ke rumah. Tapai atau `Lihing’ yang belum dicampurkan dengan air boleh digunakan untuk memasak ayam kerana `Lihing’ ini berasa manis dan masakan ini sesuai untuk mereka yang baru melahirkan anak. Tujuannya adalah untuk membuang angin dalam tubuh badan.

Pada setiap kali selepas menuai padi atau `mongomot’, masyarakat Kadazadusun akan mengadakan keramaian dan sudah tentulah tapai akan menjadi hidangan utama. Begitu juga semasa adanya majilis perkahwinan mesti ada tapai, seolah-olah kalau tidak ada tapai majlis tersebut tidak ada maknanya. Begitu juga semasa ada kematian, tapai akan menjadi minuman untuk semua hadirin. Perkataan `mitatabang’ atau gotong royong sering diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun terutama dalam membajak sawah, menyemai benih padi, menuai padi (padi bukit) dan lain-lain lagi yang difikirkan boleh membantu antara satu dengan yang lain. Kebiasaannya selepas mereka bergotong-royong mereka akan minum tapai. `Mitatabang’ atau gotong-royong bermaksud mereka akan beramai-ramai dengan mengikut giliran masing-masing saling bantu membantu dalam mengerjakan sesuatu. Contohnya selepas si A, selesai mengerjakan menuai padi, giliran si `B’ pula dan seterusnya giliran `C’ dan begitu lah seterusnya. Dalam proses bekerjasama itu, tapai sudah semestinya jadi minuman sebagai memberi tenaga selepas penat bekerja. Budaya minum tapai bukanlah perkara yang baru dalam masyarakat Kadazandusun. Sebahagian besar masyarkat Kadazandusun adalah petani, mereka akan meminum tapai apabila balik daripada sawah padi. Tujuannya adalah untuk menghilangkan penat dan memulihkan tenaga yang sudah digunakan semasa bekerja di siang hari. Selepas minum tapai mereka akan tidur dan merasa segar pada awal pagi. Perkara minum tapai biasanya sentiasa dipersoalkan oleh masyarakat yang tidak memahami tradisi tersebut. Pada dasarnya tapai dianggap sebagai minuman yang memberikan tenaga dan mencetuskan idea kepada si peminum. Contohnya, sebelum minum tapai ada di kalangan orang merasa malu dan tidak berani bercakap sesuatu kepada orang lain. Tetapi apabila sudah minum tapai, dengan sendirinya, sikap malu itu lenyap dan cakap pun banyak. Masalahnya tapai juga dipersalahkan kalau si peminum itu mabuk dan buat kacau. Persoalannya siapa yang salah ? Tapai atau si peminum tapai ? Seringkali tapai dianggap oleh masyarakat sebagai minuman yang memabukkan dan amalan tradisi itu kata mereka harus ditiadakan sudah kerana mereka menganggap tapai mendatangkan masalah. Kata mereka tapai tidak lagi relevan dalam dunia moden ini kerana sudah ada beer, stout, whisky dan bermacam-macam lagi. Budaya minum tapai dan budaya minum minuman `arak’ yang lain sememangnya mempunyai persamaan, terpulanglah kepada individu yang mengamalkannya. Jika dibandingkan dengan alkohol yang lain, tapai masih lagi murah dan mudah diperbuat.

Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan adalah acara kemuncak perayaan khas menghormati `bambarayon’ atau `bambazon’ iaitu memuja semangat padi yang di warisi sejak zaman berzaman. Masyarakat Kadazandusun di Kg. Langsat, Batu 6, Papar juga tidak ketinggalan mengadakan acara-acara tarian `sumazau’ atau `sumayau’, unduk ngadau (pertandingan ratu cantik) dan sukaneka. Sebulan atau dua bulan sebelum perayaan Pesta Kaamatan, masyarakat disini masing-masing membuat tapai sebagai hidangan semasa perayaan ini. Apabila tiba hari yang dinantikan mereka akan membawa tapai masing-masing ke `balai raya’ atau tempat diadakan perayaan tersebut. Bagi mereka yang tidak ada masa membuat tapai, mereka akan membelinya daripada mereka yang sering membuat tapai sebagai sumber pendapatan. Terdapat dua cara meminum tapai iaitu melalui menyedut air tapai dari tajau atau meminum tapai dalam cawan atau gelas. Bagi mereka yang ragu-ragu dan takut dengan jangkitan penyakit, biasanya mereka menggunakan gelas atau meminumnya melalui `tumpung’.

KESIMPULAN

Sememangnya masyarakat umum mengakui bahawa meminum minuman beralkohol seperti tapai, beer, wain, wisky dan lain-lain lagi minuman keras adalah tidak baik untuk kesihatan. Minum berlebihan akan menyebabkan seseorang itu menjadi mabuk, tidak sedarkan diri sehingga mengakibatkan hilang kawalan terhadap tubuh badan dan fikiran. Setiap agama melarang pengikutnya meminum minuman yang memabukkan. Namun budaya meminum minuman keras ini sudah menjadi amalan sejak wujudnya manusia. Tradisi ini menjadi ikutan zaman berzaman hanya kerana manusia memikirkan tentang keseronokan, kebebasan, melarikan diri dari masalah, menghilangkan keruncingan dan berbagai-bagai lagi alasan. Walaubagaimana pun, budaya minum tapai di Sabah secara tradisinya tidak seburuk yang di sangka. Meminum tapai secara minima, teratur dan beretika serta menjaga tatasusila budaya sudah tentu tidak di pandang negatif oleh masyarakat.


RUJUKAN

http://ms.wikipedia.org/wiki/Budaya
http://kdca.org.my/about/kadazandusun
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kaum_Kadazan-Dusun
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tapai